Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menawarkan pilihan tempoh sah laku lima atau 10 tahun bagi perkhidmatan pembaharuan Pasport Malaysia melalui sistem MyOnline Passport, bermula esok.
Dalam kenyataan di Facebook jabatan itu hari ini, inisiatif itu memberikan lebih fleksibiliti dan kemudahan kepada rakyat Malaysia untuk memilih tempoh sah laku pasport mengikut keperluan masing-masing.
Ogos lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jabatan itu menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan yang dihadapi pemegang pasport ketika melakukan perjalanan ke luar negara.








