LONDON: Iran menyerahkan dokumen dan bukti bergambar mengenai serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas pelabuhan, kapal awam serta infrastruktur maritim negara itu kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), sambil memberi amaran kerosakan berkenaan menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan maritim di seluruh Teluk Parsi, Selat Hormuz dan Laut Oman.

Dokumen itu diedarkan secara rasmi kepada negara anggota IMO untuk dipertimbang di bawah Perkara 11 dalam agenda bertajuk "Protection of Vital Shipping Lanes" pada sesi ke-138 Majlis IMO yang dijadual berlangsung di London dari 2 hingga 6 November, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Laporan yang disediakan oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran bertajuk "War Crimes Against Iran's Ports and Maritime Infrastructure" itu mendokumentasikan kesan pencerobohan tentera AS dan Israel terhadap kemudahan maritim awam negara berkenaan sejak 28 Februari 2026.