KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG) terus mengukuhkan status sebagai kuasa utama e-sukan negara apabila merangkul kejuaraan keenam berturut-turut Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia selepas menundukkan Team Rey dalam aksi Grand Final Musim Ke-18, hari ini.

Dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara, SRG terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemenangan 4-3 ke atas Team Rey, sekali gus meneruskan dominasi yang bermula sejak Musim Ke-13.

Kejayaan itu bukan sahaja mengukuhkan reputasi SRG sebagai pasukan paling dominan dalam saingan MPL Malaysia, malah membuktikan kemampuan mereka mengekalkan prestasi tinggi meskipun berdepan tentangan sengit daripada pencabar yang berusaha merampas takhta.