Berjaya mencipta nama sebagai penyanyi dan pelakon bukan alasan buat bintang Korea Selatan, Lee Junho, untuk berasa selesa dengan pencapaian yang diraih ketika ini.
Sebaliknya, anggota kumpulan K-pop 2PM itu percaya perjalanan sebagai anak seni sentiasa membuka ruang untuk meneroka sisi baharu dirinya, seiring dengan pengalaman dan emosi yang dilalui sepanjang kehidupan.
Bagi Junho, lakonan dan nyanyian bukan sekadar dua bidang berbeza yang diceburinya, sebaliknya wadah untuk menyampaikan pelbagai perasaan dan pengalaman manusia melalui karya seni.
Mengakui impian untuk bergelar pelakon sudah berputik sejak kecil, Junho berkata minat mendalam terhadap tarian dan nyanyian menjadi antara faktor yang mendorongnya memulakan perjalanan seni bersama 2PM sebelum mengembangkan bakat dalam dunia lakonan.









