KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, terus mengukir pencapaian dalam industri muzik apabila meraih dua pengiktirafan daripada Asean Records dan Asia Records menerusi kejayaan penganjuran Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan kedua-dua konsert berkenaan menarik kehadiran keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan, selain mengiktiraf usaha Siti mengangkat muzik tradisional menerusi pementasan berskala besar.

Siti menerima dua pengiktirafan berkenaan pada Majlis Malam Apresiasi Meraikan Kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Bukit Kiara, di sini, malam tadi.