SARIKEI - Berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang sebelum dipercayai mencederakan seorang pemuda yang cuba menghalangnya dalam kejadian di Jalan Masjid Lama dekat sini pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, suspek berumur 38 tahun itu dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan satu mesin deposit cek di sebuah bank kira-kira 12.05 tengah malam.Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian akibat tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut, selain mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian."Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Aswandy berkata, seorang pemuda berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas menggunakan parang oleh suspek ketika cuba menghalangnya di lokasi berhampiran.Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapat rawatan lanjut."Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sarikei dan polis turut merampas sebuah Toyota Hilux serta sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit," katanya.Aswandy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepin, manakala semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama