MELAKA – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datin Seri Dr Asmah Samat mahu dinilai berdasarkan kemampuan sendiri dan bukan dibayangi kedudukan suaminya yang juga seorang wakil rakyat.Bekas pakar kesihatan awam berusia 61 tahun itu berkata, penglibatannya dalam politik adalah atas keupayaan serta kesediaan sendiri untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukannya disebabkan pengaruh atau kedudukan suaminya, Datuk Seri Jamil Salleh yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Selangor.Menurutnya, setiap individu perlu mempunyai identiti sendiri namun tetap mendapatkan pandangan, nasihat dan pengalaman daripada individu berpengalaman, termasuk ahli keluarga."Kita kena ada identiti sendiri. Suami saya salah seorang yang memberi khidmat nasihat, tetapi ramai lagi orang bijak pandai yang boleh dijadikan rujukan."Contohnya, dalam isu nelayan, saya berdamping dengan golongan itu yang lebih mahir kerana ia sekadar pengetahuan tetapi pengalaman juga memainkan peranan. Jadi, saya belajar daripada mereka," katanya kepada Sinar Harian.Mengulas persepsi negatif terhadap penglibatan suami isteri atau ahli keluarga dalam politik, Dr Asmah berpandangan perkara itu bukan sesuatu yang baharu dan tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif.Katanya, tidak adil untuk menafikan peluang seseorang hanya disebabkan hubungan kekeluargaan sekiranya individu terbabit mempunyai kebolehan dan kesungguhan untuk berkhidmat."Kalau kebetulan orang itu dalam satu keluarga semuanya berkebolehan dan berkemampuan melaksanakan sesuatu, kita kena sokong."Kenapa kita mahu menghalang orang yang mempunyai bakat, kebolehan dan usaha semata-mata kerana dia anak atau ahli keluarga seseorang? Kalau kita masih berfikiran begitu, bagaimana kita mahu maju?" katanya.Beliau berkata, prinsip integriti, amanah, kejujuran serta keupayaan perlu menjadi asas dalam menilai seseorang yang mahu menyumbang kepada pembangunan negara.Tambahnya, masyarakat juga perlu memberikan sokongan kepada individu yang mempunyai kemampuan untuk berkhidmat, meskipun mereka mempunyai kekurangan tertentu.Dr Asmah berdepan persaingan dua penjuru menentang penyandang, Datuk Tuminah Kadi yang sebelum ini memenangi kerusi itu dengan majoriti 827 undi.PRN Melaka ke-15 pada 2021 menyaksikan Tuminah memperoleh 3,960 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridzwan Mustafa yang memperoleh 3,133 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Nor Azman Hassan yang mendapat 2,799 undi.