Melaka: Tidak mahu bergantung pada kedudukan suami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil di Selangor, Datuk Seri Jamil Salleh, calon BERSATU bagi kerusi DUN Pantai Kundor, Datin Seri Dr Asmah Samat mahu membina nama dan membuktikan keupayaan sendiri dalam arena politik.
Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor kesihatan awam dan perkhidmatan kerajaan, beliau mahu membawa suara penduduk setempat, khususnya nelayan dan peniaga kecil yang berdepan pelbagai masalah berkaitan sumber pendapatan.
Katanya, antara aduan utama diterima ketika bertemu penduduk ialah nasib nelayan pesisir pantai yang didakwa terjejas akibat projek penambakan laut sehingga memberi kesan kepada kawasan tangkapan dan mata pencarian mereka.










