PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli tidak berputus asa selepas menamatkan perlumbaan Moto3 di tempat keempat pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad.Sambil mengucapkan tahniah, Perdana Menteri berharap pelumba berusia 19 tahun itu terus berusaha pada baki saingan musim ini."Tahniah kepada Hakim Danish kerana menamatkan saingan Moto3 di tempat keempat! Teruskan usaha dan jangan patah semangat, masih ada baki perlumbaan untuk cuba melangkah lebih jauh," kata beliau menerusi hantaran X pada Ahad.Anwar berkata, selain Hakim Danish, beliau turut meluangkan masa bertemu dengan pelumba muda negara, Muhammad Qabil Irfan Azlan, Qayyim Razin Razali dan Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi."Saya juga titip pesan agar mereka jangan mudah mengalah apabila berdepan cabaran kerana setiap juara juga pernah melalui episod jatuh bangun."Semoga suatu hari nanti kalian pula menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Malaysia untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia," katanya.Hakim Danish, yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, terlepas peluang menaiki podium di laman sendiri selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hanya 4.410 saat di belakang juara dari Sepanyol, Maximo Quiles.Pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan aksi kompetitif apabila berjaya melonjak ke tempat kedua pada pusingan ke-11 sebelum kedudukannya dipintas dua pencabar pada pusingan berikutnya.Hakim Danish sebelum ini turut mencatat kejayaan menaiki podium pada GP Itali dan GP Republik Czech musim ini, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam kategori Moto3. Berdasarkan kalendar MotoGP, saingan musim ini kini berbaki tiga pusingan lagi, iaitu di Qatar, Portugal dan Sepanyol. - Bernama