KUALA LUMPUR: Di saat matahari mula terbenam, suasana di Kampung Orang Asli Sungai Relang, Hulu Gombak, Selangor, kian gelap. Cahaya malap lampu solar menembusi tingkap rumah penduduk, manakala sesetengah keluarga masih bergantung pada lilin dan generator diesel.

Yati Yusof, 25, meluahkan rasa syukur apabila lampu solar di rumahnya kembali berfungsi selepas dua bulan keluarganya bertemankan cahaya lilin.

"Lampu rosak. Jadi, bila malam kami cuma guna lilin," katanya kepada juruteknik SOLS Foundation yang mengunjungi kampung itu pada September lalu.

Pada Julai lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membekalkan penduduk dengan lampu solar dan pek bateri yang dibiayai Google.