KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia mempertingkatkan kemudahan pertukaran asing (FX) menerusi FX on Mobile bagi memudahkan pelanggan menguruskan transaksi mata wang dan keperluan kewangan rentas sempadan secara digital.

Penambahbaikan itu membolehkan pelanggan memantau pergerakan mata wang, meneliti trend kadar pertukaran dan melakukan transaksi FX menerusi aplikasi HSBC Malaysia Mobile Banking pada bila-bila masa.

Antara ciri yang diperkenalkan ialah FX Watchlist untuk memantau mata wang pilihan, FX Chart bagi meneliti pergerakan kadar pertukaran terdahulu serta FX Rate Alerts yang membolehkan pelanggan menetapkan kadar sasaran dan menerima notifikasi.

Pelanggan juga boleh mengakses kadar pertukaran masa nyata, melakukan pertukaran mata wang 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, selain membuat pemindahan wang antarabangsa menerusi satu platform digital.