Kyiv: Rusia mendakwa aplikasi amaran kecemasannya menjadi sasaran serangan siber besar-besaran pada Isnin.
Ia beberapa jam selepas Ukraine melaporkan sistem amaran serangan udaranya digodam dalam kejadian yang dilihat sebagai aksi saling balas antara kedua-dua negara selepas gencatan senjata terpanjang mereka berakhir, lapor AFP.
Kementerian Kecemasan Rusia berkata, penggodam menyiarkan maklumat palsu menerusi aplikasi berkenaan yang direka untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman serangan dron dan bahaya lain.
Beberapa jam sebelum itu, Ukraine berkata pihaknya mengesyaki sistem amaran serangan udaranya telah diceroboh selepas amaran tidak berasas mengenai ancaman radiasi muncul menerusi aplikasi berkenaan.









