MOSCOW: Russia berkata bahawa aplikasi amaran kecemasannya menjadi sasaran serangan siber besar-besaran pada Isnin, beberapa jam selepas Ukraine melaporkan sistemnya digodam, dalam insiden saling berbalas serangan siber antara kedua-dua negara ketika gencatan senjata paling lama sejak perang tercetus berakhir.
Kementerian Kecemasan Russia berkata, penggodam menyebarkan maklumat palsu menerusi aplikasi itu yang direka untuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman serangan dron dan ancaman lain.
Beberapa jam sebelum itu, Ukraine berkata, pihaknya mengesyaki sistem amaran serangan udara negara itu telah diceroboh selepas amaran tidak berasas mengenai ancaman radiasi muncul dalam aplikasi berkenaan.









