KUALA LUMPUR: Terinspirasi dengan kejayaan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi konsert Gema Bumantara, penyanyi, Wani Kayrie menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah single berteraskan irama tradisional.
Wani atau Syazwani Abdullah, 26, berkata, memandangkan genre muziknya ketika ini lebih menjurus kepada pop etnik, dia berhasrat untuk turut memiliki sekurang-kurangnya sebuah lagu yang mengetengahkan muzik tradisional sepenuhnya.
“Jika diberikan lebih banyak rezeki, saya memang teringin menghasilkan lagu yang sepenuhnya berkonsepkan tradisional.
“Ketika ini, genre muzik saya lebih kepada pop etnik. Jadi, saya juga teringin mempunyai lagu yang benar-benar berunsurkan tradisional supaya apabila ada pihak meminta saya menyanyikan lagu tradisional, saya sudah mempunyai karya sendiri,” katanya.









