KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi Wani Kayrie untuk mendalami irama tradisional di bawah bimbingan komposer tersohor, Allahyarham Pak Ngah, tidak kesampaian apabila tokoh muzik itu meninggal dunia sebelum impian berkenaan dapat direalisasikan.

Namun, kata-kata Allahyarham yang pernah menawarkan diri untuk membimbingnya menguasai lenggok nyanyian tradisional terus terpahat dalam ingatan Wani, sekali gus menyemarakkan keinginannya untuk menghasilkan karya yang mengangkat khazanah muzik Melayu.

Wani atau nama sebenarnya, Syazwani Abdullah, 26, berkata, keinginan menghasilkan single yang sepenuhnya berkonsepkan tradisional semakin membara selepas menyaksikan persembahan biduanita, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Gema Bumantara, baru-baru ini.