WASHINGTON: Berpuluh-puluh hospital dan klinik di New Mexico, barat daya Amerika Syarikat (AS) terjejas akibat gangguan keselamatan siber sehingga menyebabkan ambulans terpaksa dialihkan ke hospital lain, menurut kenyataan Sistem Kesihatan Universiti New Mexico (UNM), lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Sistem Kesihatan UNM kini berdepan masalah keselamatan siber dan pihak kami sedang giat berusaha menyelesaikan masalah terbabit.
"Ketika ini, semua ambulans dialihkan ke hospital lain, manakala semua janji temu di klinik kami pada hari ini dibatalkan," menurut kenyataan itu.
UNM turut menasihatkan orang ramai supaya menghubungi talian 911 sekiranya berlaku kecemasan dan menangguhkan rawatan bagi kes bukan kecemasan sehingga dimaklumkan kelak.









