KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan kerana disyaki melakukan ugutan menggunakan pisau terhadap seorang penjaja di Jalan Tasik Selatan 21, Bandar Tasik Selatan, Cheras petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Rosdi Daud berkata penahanan itu susulan kejadian membabitkan seorang lelaki dipercayai ditampar dan diugut menggunakan sebilah pisau dalam insiden perselisihan faham berkaitan aktiviti perniagaan di tepi jalan hadapan Residensi Sateri, 3 petang tadi.

Katanya, suspek warga tempatan itu ditahan di sebuah gerai menjual pisang goreng berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan selain polis turut merampas pisau yang digunakan dalam kejadian itu.

“Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.