Ipoh: Lelaki warga Singapura ditahan polis bersama sebuah bagasi berisi ketulan mampat seberat 19 kilogram (kg) dipercayai bunga ganja bernilai RM1.52 juta di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan bagasi berzip yang dibawa suspek berusia 29 tahun itu menemukan 36 bungkusan plastik lut sinar yang setiap satunya mengandungi ketulan daun kering jenis bunga ganja seberat 19.04kg.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan oleh anggota polis bantuan LTSAS yang mula mengesan bagasi terbabit dalam keadaan mencurigakan semasa pemeriksaan dijalankan ke atas bagasi penumpang.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan bermalam serta memperoleh beg bersisi dadah berkenaan di Kajang, Selangor sebelum berlepas ke Ipoh pada Sabtu lalu.






