IPOH - Polis Perak menggagalkan cubaan menyeludup 19.04 kilogram bunga ganja bernilai RM1.52 juta ke luar negara selepas mengesan dadah berkenaan dalam sebuah bagasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pada Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, seorang lelaki warga Singapura berusia 29 tahun ditahan anggota polis bantuan lapangan terbang ketika menjalankan pemeriksaan bagasi penumpang di kaunter daftar masuk.Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan terhadap bagasi berzip itu menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja.Menurutnya, suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir iaitu London, England."Hasil siasatan awal mendapati suspek tiba di Malaysia dari Singapura menggunakan penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum menginap di sebuah hotel di Kajang, Selangor."Suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang pembekal di Kajang sebelum datang ke Ipoh menggunakan perkhidmatan e-hailing pada 7 November lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.Beliau berkata, berdasarkan keterangan diberikan, suspek terpedaya dengan tawaran pekerjaan di laman web yang menjanjikan upah lumayan sebanyak SGD4,000 (kira-kira RM12,600) membawa sebuah bagasi berkenaan.Katanya, suspek dimaklumkan bahawa beg tersebut mengandungi barangan tiruan berjenama mewah untuk di hantar ke London."Kita percaya, modus operandi sindiket ini adalah dengan memperdaya individu melalui tawaran pekerjaan bergaji lumayan sebelum memperalatkan mereka sebagai keldai dadah untuk membawa bekalan ke luar negara menggunakan penerbangan komersial."Dadah disembunyikan di dalam bagasi penumpang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.Tambah beliau, sindiket berkenaan dikesan sengaja menggunakan lapangan terbang yang kurang sibuk bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah ke luar negara."Seperti di Ipoh ini, jumlah penerbangan adalah terhad termasuk penerbangan ke Singapura hanya mempunyai satu penerbangan sehari."Jika berjaya melepasi pemeriksaan dan bagasi dimasukkan ke ruang kargo pesawat, suspek boleh meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya," katanya.Mohd Alwi berkata, suspek yang tidak bekerja itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.