KUALA LUMPUR - Perkongsian resume menerusi media sosial bagi mendapatkan peluang latihan industri berisiko mendedahkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kepada penyalahgunaan data peribadi, khususnya apabila alamat kediaman dan nombor telefon dikongsi secara terbuka.Antara platform yang menjadi tumpuan ialah kumpulan Facebook berstatus awam dan boleh dilihat yang membolehkan orang ramai melihat senarai ahli serta kandungan dikongsikan selain mencari kumpulan itu tanpa perlu menjadi ahli.Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Zubaile Abdullah berkata, risiko pendedahan maklumat itu tinggi kerana resume tersebut bukan hanya boleh dilihat bakal majikan, malah sesiapa sahaja termasuk penjenayah siber.Beliau yang juga Penyelidik Kanan di Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI) UTHM berkata, maklumat yang dimuat naik boleh disalin, disimpan dan disebarkan kepada pihak lain tanpa pengetahuan pemiliknya walaupun hantaran asal telah dipadamkan."Lebih membimbangkan, apabila maklumat ini digabungkan dengan nama penuh, institusi pengajian dan latar belakang akademik, penjenayah boleh menghasilkan penipuan yang lebih meyakinkan kerana sudah mengetahui butiran peribadi mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.Mengenai bentuk ancaman, Zubaile berkata, antara risiko utama ialah penipuan tawaran pekerjaan atau latihan industri palsu apabila penjenayah menyamar sebagai wakil syarikat atau pegawai sumber manusia untuk meminta bayaran pendaftaran, deposit latihan atau maklumat akaun bank.Maklumat dalam resume juga boleh dieksploitasi untuk serangan kejuruteraan sosial dan pancingan data menerusi e-mel atau WhatsApp palsu bagi mencuri kata laluan atau memasang perisian hasad pada peranti penuntut.Sebagai langkah pencegahan, Zubaile menyarankan penuntut menyediakan dua versi resume, iaitu versi ringkas untuk dikongsikan di media sosial dan versi lengkap bagi permohonan menerusi portal pencarian pekerjaan dipercayai seperti JobStreet dan Glassdoor.Tambahnya, resume yang dikongsi secara terbuka memadai mengandungi nama, bidang pengajian, kemahiran, pengalaman serta jenis pekerjaan atau latihan industri yang dicari tanpa mendedahkan alamat kediaman penuh, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir."Dokumen peribadi yang lebih terperinci hanya wajar diberikan kepada bakal majikan yang telah disahkan menerusi e-mel rasmi atau saluran permohonan selamat," jelasnya.Justeru, Zubaile berkata, pihak IPT perlu menyediakan garis panduan jelas mengenai perkongsian resume dan perlindungan data peribadi, khususnya menerusi program persediaan latihan industri dan pembangunan kerjaya pelajar.Tambahnya, pendekatan menghubungkan pelajar dengan pihak industri menerusi program kerjaya yang menyediakan bimbingan penyediaan resume, simulasi sesi temu duga dan peluang temu duga sebenar boleh diperluas ke setiap IPT bagi memudahkan pelajar mendapatkan penempatan l