ARAU: Bermula daripada rasa kecintaan terhadap negeri mendorong seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menghasilkan sebuah lagu iaitu Joget Anak Perlis yang mencetuskan sensasi di media sosial.

Ahmad Zulazmeer Rozali atau lebih mesra disapa Ammer menghasilkan karya berkenaan dengan menterjemahkan keunikan identiti masyarakat Perlis menerusi lagu berentak joget itu.

Menampilkan gabungan melodi rancak, lirik bersahaja dan penggunaan dialek tempatan, lagu berkenaan mencatat perkembangan memberangsangkan apabila video muziknya di YouTube mencecah 17,000 tontonan sejak dimuat naik pada September lalu.

Lebih menarik, lagu yang mula diperkenalkan menerusi platform digital sejak Ogos lalu turut digunakan dalam pelbagai video, aktiviti, majlis dan kandungan media sosial, sekali gus memperlihatkan penerimaan masyarakat terhadap karya muzik yang mengetengahkan identiti negeri.