Foshan, China: Sebuah restoran di sini mencuri tumpuan warganet menerusi menu pencuci mulut baharu yang luar biasa iaitu tart telur dihiasi kumbang air goreng rangup yang menyerupai lipas gergasi, lapor South China Morning Post.
Foshan terkenal dengan keunikan masakan Kantonis dan diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pada awal Oktober lalu, restoran terbabit memperkenalkan menu dinamakan "tart telur lipas air" yang dijual pada harga 28 yuan (kira-kira RM17) bagi tiga biji.
Gambar pencuci mulut itu yang memaparkan seekor serangga bersaiz besar di atas setiap tart telur pantas mencetuskan sensasi di media sosial.








