Melaka: Kaki patah dan penyakit kanser rektum tidak menghalang dua anggota polis hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di sini, hari ini.
Sarjan M Manimaran, 56, berkata, dia mengalami patah tulang tapak kaki kanan selepas tergelincir di rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan sebelum sambutan Deepavali.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, walaupun masih bercuti sakit dan mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, dia tetap mahu hadir untuk mengundi awal.
Menurutnya, dia dihantar oleh anaknya ke pusat pengundian di Balai Polis Trafik Alor Gajah pada 6.45 pagi bagi menunaikan tanggungjawab berkenaan.







