IPOH: Tawaran upah lumayan sebanyak 4,000 dolar Singapura (RM12,686.68) menjerat seorang lelaki warga Singapura sehingga sanggup menjadi ‘keldai’ untuk menyeludup bunga ganja bernilai RM1.52 juta menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada Ahad lalu selepas anggota polis bantuan LTSAS mengesan sebuah bagasi mencurigakan ketika pemeriksaan di kaunter daftar masuk.
Katanya, tangkapan dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bagasi berkenaan menemukan 36 bungkus plastik lutsinar yang setiap satu mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis bunga ganja dianggarkan seberat 19,040 gram.




