JOHOR BAHRU: Tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah atas kesalahan berlumba dan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), dekat Iskandar Puteri, bulan lalu.

Hukuman diputuskan terhadap Syajahan Alfian Abdullah, 19; Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid, 24, dan Gonzales Mckhovic George, 18, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Syajahan Alfian yang sedang menjalani khidmat negara selama dua tahun di Singapura didakwa menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi serta melakukan aksi menduga kelajuan.