MELAKA – Sebanyak 19 laporan polis diterima melibatkan beberapa kesalahan antaranya khianat, khianat menggunakan api dan pergaduhan dalam tempoh 11 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, bermula 31 Okt lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kebanyakan kertas siasatan tersebut dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan kianat dan Seksyen 435 KK iaitu khianat dengan api melibatkan tindakan membakar bendera.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan hasutan dan ugutan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.