KOTA MELAKA - Pemimpin politik khususnya dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan supaya mengamalkan budaya perbincangan dan menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat menerusi saluran sewajarnya, termasuk dalam mesyuarat Kabinet.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan perlu diberikan kepada kestabilan pentadbiran dan bukannya menggunakan pentas politik untuk menyerang rakan sekutu yang bersama-sama membentuk kerajaan.Menurutnya, ruang perbincangan dalam Kabinet perlu dimanfaatkan bagi membangkitkan sebarang ketidakpuasan hati atau perkara yang tidak dipersetujui, berbanding mencetuskan pertelingkahan secara terbuka."Ini kawan saya dalam kerajaan. Dia datang kempen, dia hentam. Tapi (ada) dalam kerajaan. Kalau tidak setuju, cakap dalam Kabinet esok pagi."Mesyuarat pagi bermula jam 9 pagi sampai 12.30 tengah hari, tiga jam cakaplah. Kalau tidak, gaduh saja. Hentam Melayu sama Cina saja," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Harapan di Dewan Sekolah Mengah Pay Fong di sini pada Khamis.Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.Sementara itu, Anwar turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan politik kebencian dan perkauman yang boleh menggugat kestabilan negara, sekali gus menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur asing.Jelasnya, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada kemajuan ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia."Kestabilan politik dan hubungan baik antara kaum penting bagi memastikan negara terus menjadi destinasi pelaburan asing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjamin masa depan generasi muda."Contohnya, pelaburan bernilai AS$15 bilion yang mampu menyediakan 30,000 peluang pekerjaan membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia masih kukuh, walaupun beberapa negara lain berdepan pelbagai ketidaktentuan."Pelabur masih ada keyakinan. Kita fokus cari kerja bagi anak-anak kita. Kita fokus maju semua negeri termasuk Melaka," katanya.