WASHINGTON: Sekeping peta lakaran tangan bersejarah yang menjadi sempadan pemisah antara negeri bebas dan negeri perhambaan di Amerika Syarikat (AS) berjaya dijual pada harga AS$950,000 (RM3.8 juta) dalam satu acara lelongan di Carolina Utara.
Rumah lelongan Brunk Auctions yang berpangkalan di Asheville mengesahkan bahawa peta artifak Mason-Dixon Line berkenaan telah dibeli oleh seorang pembeli misteri dalam sesi lelongan yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.
“Jarang sekali kita dapat berada begitu dekat dengan sesuatu yang mempunyai kepentingan sejarah yang sangat besar,” kata Presiden rumah lelongan terbabit, Lauren Brunk kepada portal Orange County Register.
Kira-kira 45 pembida bersaing untuk memiliki artifak era pra-Perang Saudara berkenaan sebelum ia berjaya dijual kepada pemilik baharu dalam tempoh kurang daripada tiga minit.




