Kuantan: Kediaman Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid di Taman Seri Kuantan, di sini, terbakar dalam kejadian membabitkan dua rumah teres dua tingkat malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.
Katanya, 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dibantu BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng terbabit dalam operasi pemadaman.
"Kebakaran dua rumah itu tidak membabitkan mangsa dan kerja pemadaman masih dilakukan. Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.








