MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan politik yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata kuasa dan hak prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen hanya terletak di tangan Perdana Menteri.
“Kita tahu mereka cuba menggunakan momentum sekarang ini untuk menekan Perdana Menteri membubarkan Parlimen tapi saya yakin Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada tekanan kerana Perdana Menteri masih ada mandat, masih ada sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya.
“Mandat beliau ada setahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Batu Berendam di sini malam ini.








