ISU peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang kembali mendapat perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Perbahasan ini penting kerana membabitkan dua prinsip demokrasi saling berkaitan, iaitu keadilan pembangunan untuk semua rakyat dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan dana awam.
Anwar menjelaskan peruntukan pembangunan bagi sesebuah kawasan Parlimen berbeza daripada peruntukan diurus melalui ahli Parlimen berkenaan.
Sekolah, klinik, jalan raya dan kemudahan awam boleh dibangunkan melalui kementerian, kerajaan negeri serta pejabat daerah tanpa wang berkenaan diserahkan kepada wakil rakyat.








