KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang kembali reda ketika ini belum menjamin negara bebas daripada ancaman itu, dengan risiko episod baharu dijangka muncul beberapa bulan mendatang susulan cuaca kering akibat fenomena Super El Nino.
Risiko itu dijangka meningkat menjelang penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dijangka Mac ini, apabila keadaan lebih kering berpotensi mencetuskan kebakaran hutan dan tanah gambut, sekali gus membuka ruang kepada jerebu berulang.
Jika itu berlaku, rakyat Malaysia dijangka menghadapi 'jerebu luar musim' pada awal tahun depan.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata risiko itu dijangka meningkat awal tahun hadapan sekiranya langkah kawalan kebakaran tidak dilaksanakan.






