Setiap bulan membawa harapan baharu. Seorang isteri menunggu keputusan ujian kehamilan, sementara suaminya cuba menenangkan hati. Apabila hasilnya negatif, mereka kembali tersenyum di hadapan keluarga walaupun jauh di sudut hati tersimpan kekecewaan yang sukar diungkapkan.

Begitu pengalaman sesetengah pasangan yang menghadapi subfertiliti, iaitu kesukaran memperoleh kehamilan walaupun peluang untuk hamil masih wujud, sama ada secara semula jadi atau melalui rawatan.

Perjalanan ini bukan sekadar membabitkan hormon, sperma, ovulasi atau prosedur klinikal. Ia turut menguji emosi dan hubungan suami isteri.

Ada wanita menyalahkan diri kerana belum mempunyai anak. Ada lelaki menganggap masalah kesuburan mencabar harga dirinya. Ada pula pasangan semakin jarang berbual tentang perasaan kerana masing-masing tidak mahu menambah kesedihan orang tersayang.