ALOR GAJAH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu inisiatif harga getah bermaruah yang kini sekurang-kurangnya RM5 sekilogram ditingkatkan bagi memastikan kebajikan pekebun kecil getah terus terbela.

Beliau berkata usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tahun ini sahaja, memandangkan pekebun kecil getah telah sekian lama berdepan kesukaran untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Saya tidak mahu harga getah bermaruah ini hanya untuk tahun ini sahaja. Sebaliknya, ia perlu dikekalkan dan ditingkatkan kerana kita tahu pekebun kecil getah telah lama menghadapi kesukaran.

“Saya mempunyai azam tidak mahu lagi melihat pekebun kecil ini terus sengsara sepanjang hayat. Saya harap Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dapat membela nasib mereka supaya kehidupan mereka juga lebih baik,” katanya.