Bandar Baharu: Hujan lebat berterusan lebih dua jam hari ini menyebabkan 18 rumah di dua mukim di daerah ini terjejas akibat banjir.
Daripada jumlah itu, 14 rumah membabitkan Mukim Relau, manakala empat lagi di Mukim Serdang berdasarkan pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata berdasarkan laporan awal pemantauan setakat jam 9.10 malam, paras air Sungai Punti di Mukim Serdang sudah berada pada tahap bahaya, manakala Sungai Semambu di Mukim Relau berada pada paras waspada.
Katanya, kawasan yang dipantau di Mukim Serdang membabitkan Kampung Sungai Punti dan Kampung Batu 16 Lombong A, manakala di Mukim Relau meliputi Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah Relau, Kampung Kilang Batu dan Kampung Padang.









