Kuala Lumpur: Produk Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) yang menjadi perhatian susulan kebimbangan pengguna baru-baru ini disahkan mematuhi spesifikasi keselamatan makanan berdasarkan keputusan ujian makmal bebas yang bertauliah.
Gardenia dalam kenyataan memaklumkan, keputusan ujian berkenaan mengesahkan produk terbabit memenuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan serta keperluan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.
Syarikat itu memaklumkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengadakan lawatan pemeriksaan ke fasiliti pengeluarannya semalam sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan.
Menurut kenyataan itu, Gardenia memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pemeriksaan berkenaan.









