DOHA: Malaysia menggesa aspek daya tahan telekomunikasi di lokasi ekonomi kritikal seperti pelabuhan, rangkaian kereta api, lebuh raya serta hab perindustrian, diberikan perhatian serius.
Malah, Malaysia memberi amaran bahawa sebarang gangguan yang berlaku boleh membawa kesan meluas terhadap rantaian bekalan global dan aktiviti ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata ketersambungan rangkaian yang boleh dipercayai di lokasi berkenaan, semakin penting.
Katanya, ini kerana infrastruktur digital kini berdepan ancaman semakin meningkat, termasuk cuaca ekstrem, serangan siber, gangguan bekalan elektrik dan kerosakan kabel dasar laut.









