Los Angeles: Atlet yang memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 perlu mencapai standard kelayakan jauh lebih tinggi berbanding edisi Paris 2024 selepas Olahraga Dunia (World Athletics) mengetatkan beberapa penanda aras bagi acara balapan dan larian.

Badan induk olahraga dunia itu mengumumkan pada Selasa bahawa kira-kira 40 peratus atlet akan layak menerusi standard kelayakan, manakala baki 60 peratus berdasarkan kedudukan ranking dunia berbanding pembahagian 50-50 pada Olimpik Paris 2024.

Sistem kelayakan itu merangkumi 23 acara lelaki, 23 acara wanita dan dua acara lari berganti-ganti campuran iaitu 4x100 meter yang bakal membuat penampilan sulung di Olimpik serta 4x400 meter.

Peningkatan standard paling ketara membabitkan acara jarak jauh apabila atlet perlu mencatat masa jauh lebih pantas berbanding syarat yang ditetapkan untuk Paris.