London: Bekas kapten Switzerland, Ramon Vega tidak gentar berdepan Gianni Infantino dalam perebutan jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), malah yakin mampu menamatkan penguasaan penyandang itu pada pemilihan Mac tahun depan.

Vega, 55, yang pernah membantu Tottenham Hotspur menjuarai Piala Liga pada 1999 walaupun beraksi dalam perlawanan akhir dengan buku lali patah, percaya semangat juang dan keazamannya mampu membawanya meraih kemenangan dalam pemilihan berkenaan.

Bekas pertahanan tengah itu membuat lebih 60 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, selain pernah beraksi semusim di Serie A bersama Cagliari dan menjalani tempoh pinjaman bersama Celtic.

Selepas bersara pada 2003, Vega yang fasih enam bahasa membina kerjaya dalam dunia perniagaan, selain pernah mencuba nasib merebut jawatan Presiden FIFA pada 2015, 2019 dan 2023.