Kuala Lumpur : Penggunaan aplikasi MyMinyak dalam urusan pengedaran subsidi diesel dan petrol nelayan bukan sekadar mengetatkan kawalan pembelian, malah menuntut usaha berterusan dalam membimbing golongan nelayan yang kurang mahir menggunakan teknologi.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya memahami kesukaran yang mungkin dihadapi oleh nelayan berusia apabila beralih kepada sistem digital berkenaan.

Katanya, pelbagai sesi libat urus dan latihan dilaksanakan sebelum aplikasi itu diperkenalkan secara menyeluruh bagi memastikan golongan nelayan memahami proses serta manfaatnya.

"Antara faedah negara kita ada persatuan nelayan ini ialah di kawasan-kawasan nelayan, kita ada wakil untuk melihat dan memantau segala aktiviti nelayan, termasuklah mengajar mereka bagaimana menggunakan aplikasi-aplikasi ini," katanya sempena majlis sambutan ulang tahun ke-55 LKIM di sini, hari ini.