KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan bateri kenderaan elektrik (EV) yang sudah ditamatkan penggunaannya, supaya dimanfaatkan semula sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi membekalkan elektrik kepada penduduk luar bandar, penempatan masyarakat Orang Asli, serta kemudahan kesihatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu sekali gus memastikan manfaat ekonomi kitaran turut dinikmati komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
Katanya, cadangan dikenali sebagai 'Dividen Ekuiti Kitaran' itu ialah antara tiga penyelesaian dikemukakan Malaysia bagi mempercepatkan pelaksanaan ekonomi kitaran di kawasan bandar pada peringkat global serta memacu agenda sifar sisa.








