ISTANBUL: Malaysia mencadangkan agar Pertubuhan Zakat Antarabangsa (IZO) dihidupkan semula bagi menyelaras pengumpulan dan pengagihan dana zakat di peringkat global, khususnya demi membela nasib negara Islam miskin serta komuniti minoriti Muslim di seluruh dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan mengaktifkan semula IZO yang ditubuhkan pada 2008 itu pernah diilhamkan oleh pelopor perbankan Islam dari Arab Saudi, Allahyarham Sheikh Saleh Abdullah Kamel sewaktu era pentadbiran Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau menjelaskan IZO berpotensi digerakkan menerusi sumbangan negara Islam kaya, selain meneroka mekanisme penyaluran faedah deposit hasil minyak ‘petrodolar’ di bank-bank antarabangsa yang tidak dituntut pemiliknya kerana larangan riba.









