ISTANBUL: Perbezaan pandangan dan pendirian politik antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan kerja antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan kekal baik, dengan urusan pentadbiran kementerian serta mesyuarat Jemaah Menteri berjalan lancar secara profesional.

“Tiada permasalahan dari segi hubungan. Kami mengendalikan kementerian dan mengadakan mesyuarat Kabinet setiap minggu.

“Pelaksanaan urusan dan pentadbiran kerajaan dilakukan secara profesional, dan tidak pernah timbul perbezaan pendapat ataupun perbalahan sepanjang lebih empat tahun ini,” katanya kepada wartawan Malaysia semasa sidang akhbar bersempena dengan lawatan kerja empat hari ke Turkiye yang berakhir hari ini.