BANGKOK – Agensi angkasa Thailand sedang mengenal pasti asal usul sebuah objek menyerupai serpihan angkasa yang ditemukan terdampar di Pulau Mai Phai di Krabi, lapor laman berita Thaiger.

Objek itu ditemukan berhampiran sebuah stesen renjer di Taman Negara Hat Noppharat Thara-Mu Ko Phi Phi pada 1 November lalu, namun asal usulnya masih belum dikenal pasti.

Agensi Pembangunan Teknologi Geoinformatik dan Angkasa Lepas (GISTDA) mengerahkan pasukan daripada Pusat Penyelidikan Teknologi Angkasa (S-TREC) ke lokasi bagi memeriksa dan mengambil objek berkenaan pada Khamis lalu.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Pemerintahan Penguatkuasaan Maritim Thailand cawangan Krabi serta pegawai taman negara untuk meneliti maklumat berkaitan penemuan dan penyimpanannya.