PETALING JAYA – Hujan sangat lebat melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang petang tadi dengan taburan tertinggi direkodkan di Segambut Dalam, Kuala Lumpur iaitu sebanyak 73 milimeter (mm).

Berdasarkan maklumat menerusi portal Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa kawasan lain turut mencatatkan taburan hujan tinggi termasuk Kampung Sungai Tua di Empangan Batu, Gombak sebanyak 67.5mm, Ladang Edinburgh, Kuala Lumpur (66.5mm) dan Kampung Sungai Tua di Empangan Batu (F2) sebanyak 64.5mm.

Turut merekodkan hujan sangat lebat ialah Empangan Batu, Kuala Lumpur dengan bacaan 62mm, Taman Bukit Permata, Gombak (61mm) serta Segambut Bahagia TNB (51mm).

Selain itu, beberapa kawasan lain turut menerima hujan lebat termasuk Sungai Kayu Ara di Kampung Sungai Pencahala (40mm), Sungai Keroh di Komuter Segambut (47mm) dan Sungai Keroh di Taman Cuepacs (44mm).