Melaka: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Rais Yasin, menggariskan lapan tawaran menerusi manifestonya yang memberi tumpuan kepada aspek kebajikan tentera, kelestarian alam sekitar dan pembangunan masyarakat setempat.

Rais yang beralih daripada kerusi DUN Paya Rumput ke Sungai Udang berkata, antara sasaran utamanya sekiranya diberi mandat ialah menutup operasi tapak pelupusan sisa pepejal Sungai Udang menjelang 2029 menerusi pelaksanaan projek sisa kepada tenaga atau Waste-to-Energy (WtE).

Beliau menyifatkan lapan tawaran berkenaan dekat di hatinya kerana ia dirangka berdasarkan kajian sendiri terhadap keperluan penduduk di kawasan itu.