Alor Gajah: Barisan Nasional (BN) menawarkan 10 aku janji merangkumi pembangunan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan dan peluang pekerjaan sekiranya calonnya, Datuk Ngwe Hee Sem, diberikan mandat sekali lagi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya
Antara tawaran utama ialah pembinaan klinik kesihatan baharu di Tebong, penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, pembinaan jalan penghubung Lesung Batu-Parit Melana serta bantuan tambahan pendidikan tinggi kepada anak tempatan.
Aku janji dibentangkan Hee Sem bertemakan Melestarikan Machap Jaya - Demi Kemajuan Bersama dan Kesejahteraan Rakyat itu turut memberikan tumpuan kepada pemodenan kampung tersusun, pembangunan tanah perkuburan, pemerkasaan ekonomi setempat dan usaha menjadikan Machap Jaya sebagai kawasan pelancongan berasaskan budaya serta warisan.








