BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) sedia menawarkan kedudukan dalam kerajaan negeri kepada wakil Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan itu selaras kerjasama politik dimeterai kedua-dua gabungan bagi menghadapi PRN kali ini.

"Sebagaimana berlaku di Negeri Sembilan menerusi kerjasama dengan PN dan di Melaka bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kita menghormati persetujuan dengan memberikan pelantikan kepada rakan kerjasama untuk menganggotai kerajaan negeri.

"Justeru, kita akan mengambil pendekatan sama dengan menjemput wakil PN yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menganggotai kerajaan negeri jika kita berjaya membentuk kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026, di sini hari ini.