Iskandar Puteri: Johor berhasrat menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia khususnya sektor pelancongan kesihatan menerusi perkhidmatan laluan feri baharu ke Batam yang dijangka memperkukuh perjalanan rentas sempadan dengan negara jiran.

Rakyat Indonesia menyumbang 79 peratus daripada 127,000 pesakit luar negara yang menerima rawatan di Johor pada 2025, manakala kira-kira 1.5 juta pelawat dari negara jiran itu berkunjung ke bandar raya Johor Bahru pada tahun yang sama.

Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto berkata, perkhidmatan baharu yang menghubungkan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour dengan Terminal Feri Gold Coast di Bengkong, Batam bakal memberi kemudahan lebih besar kepada pelancong dari kedua-dua belah pihak.