Sepang: Pelumba Ducati, Marc Marquez meraih kemenangan ketiga dalam kariernya pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini, sekali gus semakin cerah untuk merangkul gelaran juara dunia MotoGP kali kelapan.

Marquez mempamerkan tunggangan cemerlang apabila berjaya memintas adiknya, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang memulakan perlumbaan dari petak utama seawal pusingan pertama sebelum terus menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Kemenangan itu cukup bermakna buat juara dunia tujuh kali berkenaan yang sebelum ini pernah menakluk Litar Sepang pada 2014 dan 2018 ketika bersama Honda.

Selepas lapan tahun, pelumba Sepanyol itu sekali lagi membuktikan kehebatannya di SIC, kali ini bersama jentera Ducati untuk menambah satu lagi kemenangan di bumi Malaysia serta kemenangan ke-80 sepanjang kariernya dalam kelas MotoGP.